Tuesday, 30 June 2015

Kajian Terhadap Kismis



Berdasarkan kajian Kolej Pergigian, Universiti Chicago, kismis mengandungi bahan ‘phytochemical’ yang menyekat pertumbuhan bakteria di dalam mulut.

Ini sekali gus membantu mengurangkan masalah penyakit gusi dan kerosakan gigi manakala kajian turut menunjukkan tiga daripada empat orang dewasa yang berusia melebihi 35 tahun dilaporkan mengalami beberapa bentuk penyakit gusi.

Jika sering memikirkan kuih-muih sebagai sajian ringan, kismis juga boleh dijadikan sajian ringan yang menarik kerana ia adalah sumber tenaga yang baik.

“Ia mengandungi kira-kira 35 peratus fruktosa dan 35 peratus glukosa. Fruktosa adalah bentuk gula semula jadi yang mudah dihadam untuk mendapatkan tenaga segera. Malah, ia menyediakan sumber tenaga berterusan berbanding snek seperti donut,” katanya.




Bagi Pengarah Pendidikan, Institut Sumber Kanak-kanak Malaysia, Ruth Liew, pemilihan makanan yang sihat mampu dijadikan tabiat yang akan berkekalan seumur hidup mereka.

“Misalnya, menyediakan sajian menyihatkan seperti kismis untuk kanak-kanak bukan saja memudahkan ibu bapa memandangkan kurangnya waktu persediaan sajian terbabit malah ia menyediakan khasiat diperlukan kanak-kanak.


Sunday, 28 June 2015

Khasiatnya Kismis Kepada Manusia

Makanan yg digalakkan untuk anak-anak.


KISMIS lazimnya popular ketika musim perayaan untuk dijadikan campuran kek, biskut atau mufin tetapi mungkin kurang dijadikan sajian ringan seharian.

Barangkali ia dianggap kurang mengenyangkan namun hakikatnya, kismis memang kaya dengan pelbagai khasiat, menjadikannya sesuai bukan saja untuk kanak-kanak malah golongan dewasa.

Menurut pakar pemakanan klinikal, Tan Yen Sing, khasiat kismis meliputi pelbagai aspek termasuk dari segi kandungan kalori dan antioksidan serta membantu penjagaan gigi.

“Kismis adalah sumber antioksidan yang baik manakala pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin penuh membantu menyediakan perlindungan daripada beberapa masalah berkaitan penuaan.

“Antioksidan didapati pada kismis dikenali sebagai catechin adalah daripada keluarga antioksidan yang sedia diserap. Bahan terbabit membantu untuk meningkatkan kesihatan usus besar. Selain kismis, ia boleh ditemui dalam epal dan anggur serta minuman seperti coklat dan teh.

“Selain itu, kismis menyediakan kandungan potassium dan serat. Ia turut mengandungi fruktosa iaitu gula buah semula jadi iaitu sumber tenaga yang baik,” katanya pada sesi taklimat mengenai kebaikan kismis yang didatangkan dari California, Amerika Syarikat, di ibu negara, baru-baru ini.

Untuk mereka yang prihatin mengenai penjagaan berat badan, kismis tidak mengandungi sodium, lemak mahupun kolesterol apatah lagi ia mudah dijadikan sajian seharian.


Bagi mendapatkan kandungan serat yang baik, disarankan pengambilan dua sajian kismis setiap hari. Menurut anggaran, suku cawan kismis bersamaan dengan satu sajian buah-buahan.

Menurutnya, kismis juga boleh membantu untuk memerangi masalah plak gigi dan penyakit gusi.

Amalkan Permakanan Sunnah Dari Peringkat Kecil

Saturday, 27 June 2015

Khasiat Kismis:



1) Menajam minda -

Gula ringkas dalam kismis telah dikenalpasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.



2) Antioksida -

Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit.



3) Gigi sihat -

Jangan membiarkan kemanisan dan rasa melekit kismis menipu anda. Kismis tidak menyebabkan kaviti dan penyakit gusi, bahkan mempromosi gigi yang sihat kerana mengandungi asid oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria.



Oleh itu, kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Justeru, anda perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.

Nabi Muhammad SAW bersabda:


“Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian”.
InsyaAllah..

Wednesday, 24 June 2015

KISMIS Makanan Sunnah



Kismis sebenarnya berasal daripada buah anggur yang menjalani proses penyahidratan sama ada menggunakan matahari atau menggunakan ketuhar. Terdapat beberapa jenis kismis yang popular seperti sultana, malaga, monukka dan muscat.

Akibat proses penyahidratan saiz kismis menjadi lebih kecil iaitu hanya separuh duit syiling lima sen. Dalam satu penulisan dalam majalah Today Dietitian mengungkapkan kismis sebagai gula-gula asli dan semula jadi.

Kenapa begitu? “Ia adalah salah salah satu daripada buah kering yang paling kaya dengan nutrisi di dunia. Kismis bebas kolesterol, rendah sodium dan bebas lemak. Ia menawarkan nutrisi yang diperlukan tubuh termasuk vitamin, mineral, zat besi, serat dan kalsium,” nukil artikel itu.

Jika begitu, tidakkah kismis membahayakan kesihatan? Kismis mengandungi kadar gula yang tinggi tetapi gula fruktosa adalah gula semula jadi yang dipanggil gula ringkas. Ia mudah diproses untuk menjadi tenaga.


Walaupun kering, kismis juga dikategorikan sebagai salah satu buah-buahan yang kaya dengan antioksida selain prun dan aprikot. Oleh itu, kismis turut berfungsi sebagai agen untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas.

Snek ini menawarkan pelbagai khasiat lain termasuklah sumber tenaga, tulang yang sihat bagi wanita, kesihatan gigi dan memperbaiki daya penglihatan.


Khasiat Buah Kismis

Anda mungkin ingat dengan pesan orang tua-tua atau ibu tentang makanan yang harus diambil jika ingin pintar dalam pelajaran? Tentulah kismis. Menjelang peperiksaan inilah satu-satunya diet yang kerap diberikan ibu.

Adakah dakwaan kismis dan kaitan ketajaman minda benar atau ia sekadar mitos? Ini kerana jarang sekali ibu bapa atau orang tua dapat memberikan penjelasan lanjut kenapa kismis baik untuk minda.
Malah keduanya, adakah kebaikan kismis hanya sekadar menyumbang kepada manfaat minda semata-mata? Kismis atau dipanggil raisin dalam bahasa Inggeris atau zabib dalam bahasa Arab.

Disabdakan Rasulullah SAW:

Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih.


Apakah sebenarnya rahsia kismis sehingga ia mendapat tempat sejak ratusan tahun dulu?



Tuesday, 26 May 2015


Asal Usul Kismis

Anggur

Anggur yang telah dikeringkan


Kismis adalah Anggur yang dikeringkan dan dapat dimakan terus atau digunakan dalam masakan. Pada abad ke-11 Masihi tentera salib memperkenalkan kismis di Eropah setelah kembali dari Mediterania. Dekristalisasi kismis dapat dilakukan dengan merendam dalam cairan (alkohol, sari buah, atau air mendidih) sebentar untuk melarutkan gula.

Zabib, yang berasal dari bahasa Arab untuk menyebut kismis, merupakan buah kismis yang kering. Sementara nama kismis dalam bahasa Melayu berasal dari kata "kishmish" di bahasa Hindi, Urdu, dan Persia.

Penggunaan kismis (vitis vinifera) dalam pelbagai tradisi dan budaya mungkin berbeza di antara satu sama lain. 

Namanya juga berbeza di antara pelbagai budaya dan bahasa. Ia boleh dimakan mentah mahupun digunakan dalam masakan dan pembuatan kek. 

Kismis sangat manis disebabkan kepekatan gula yang tinggi dan sekiranya ia disimpan terlalu lama, maka gulanya akan membentuk kristal di dalam buahnya. Ini menyebabkan buahnya mengecut tetapi tidak menjejaskan kegunaanya.

Sebanyak 60% berat kismis terdiri daripada gula, di mana separuh darinya adalah fruktosa dan separuh lagi adalah glukosa. Kismis sangat tinggi kandungan antioksidannya berbanding buah prune dan aprikot.

Kismis telah lama digunakan sebagai sumber diet bagi mendapatkan asid lemak perlu dan tokoferol sebagai antioksidan.